Tiada laporan polis dakwaan cubaan culik murid prasekolah

Tiada laporan polis dakwaan cubaan culik murid prasekolah

Tawau: Polis mengesahkan belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan cubaan menculik seorang murid prasekolah, di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis bagaimanapun akan menjalankan siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku Isnin lalu.

Katanya, ia termasuk mendapatkan maklumat bagi mengenalpasti kesahihan dakwaan yang tular di media sosial dan Aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

“Berkenaan hal ini, sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak.

“Walaubagaimanapun, pihak polis juga sedang mengumpulkan maklumat bagi mendapatkan kesahihan perkara ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang kenyataan yang belum dipastikan kesahihannya bagi mengelakkan kegusaran awam.

Sementara itu, kenyataan yang tular mendakwa, penculik cuba mengumpan dengan memberi gula-gula serta wang kepada mangsa.

Bagaimanapun cubaan berkenaan gagal selepas disedari seorang ustaz dan pengawal keselamatan sekolah yang bertindak menjerit ke arah penculik terbabit.

Laporan itu mendakwa, penculik terus meninggalkan mangsa dan menaiki sebuah kenderaan proton saga aeroback berwarna putih.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|