Surirumah diperdaya ‘Love Scam’, rugi RM508,500

Surirumah diperdaya ‘Love Scam’, rugi RM508,500

Kota Kinabalu: Seorang surirumah kerugian RM508,500 selepas diperdaya sindiket Love Scam melalui perkenalan dengan seorang lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial.

Mangsa berusia 47 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Facebook pada awal Julai lalu.

Pada awalnya mereka hanya berinteraksi dalam Facebook dan kemudiannya berhubung melalui aplikasi WhatsApp sehingga menjadi kawan rapat.

Selepas itu, lelaki terbabit meminta wang daripada mangsa dengan alasan perlu ke Malaysia bagi mengurus tuntutan waris mendiang bapanya.

Lelaki itu turut berjanji akan memulangkan wang yang dipinjamnya dua kali ganda.

Atas dasar percaya, wanita berkenaan mengirimkan wang kepada lelaki terbabit secara berperingkat ke sebuah akaun milik seorang wanita dengan jumlah keseluruhan RM508,500.

Mangsa berasa tertipu apabila lelaki terbabit tidak memulangkan wang yang dipinjam malah masih meminta wang.

Menyedari ditipu, wanita terbabit kemudian membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan kes-kes penipuan scammer yang sudah banyak diwar-warkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain pihak serta laporan di media arus perdana,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|