Habitat diceroboh, kurang makanan punca buaya masuk laut

Habitat diceroboh, kurang makanan punca buaya masuk laut

Lahad Datu: Pencerobohan habitat dan kekurangan sumber makanan dipercayai antara punca buaya memasuki kawasan laut berhampiran pantai daerah ini berbanding habitat biasanya di kawasan air tawar.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu, Sylvester Saimin, berkata hidupan liar itu berkemungkinan datang dari Sungai Silabukan yang terletak berhampiran pekan berikutan populasinya yang banyak ditemui di sungai berkenaan.

Katanya, berdasarkan kajian Jabatan Hidupan Liar di Sungai Silabukan yang tidak jauh dari pekan Lahad Datu, pihaknya mengesan 80 pasang mata buaya dalam jarak satu kilometer ketika kajian yang dijalankan pada waktu malam, sebelum ini.

“Buaya tidak semestinya di air tawar saja, ia juga boleh hidup di air laut dan kehadiran buaya di perairan Lahad Satu ini disebabkan pencerobohan habitat selain sumber makanan yang berkurangan di tempat asalnya.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan di Sungai Silabukan yang tidak jauh dari pekan Lahad Datu mendapati dalam jarak kurang satu kilometer kita menemui 80 pasang mata buaya dalam kajian yang dijalankan pada waktu malam,” katanya, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran buaya di kawasan laut berhampiran pantai di pekan Lahad Datu yang mengancam keselamatan orang ramai.

Semalam, seorang kanak-kanak dilaporkan hilang, selepas diserang buaya di perairan berhampiran pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu.

Usaha mencari dan menyelamat kanak-kanak berkenaan masih diteruskan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lahad Datu, PPM dan Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu.

Sylvester berkata, antara usaha Jabatan Hidupan Liar dalam menangani masalah buaya di daerah ini ialah dengan memasang perangkap bagi menangkap hidupan liar itu.

Jelasnya, tindakan menembak hidupan liar itu juga boleh diambil bagi mengelakkan panik dan mengganggu ketenteraman awam.

“Buaya yang menyerang kanak-kanak itu, berdasarkan maklumat pasukan yang berada di lapangan, masih belum dijumpai.

“Usaha pihak jabatan pada peringkat ini adalah dengan menjalankan pemantauan terhadap buaya itu dan kalau sesuai untuk diperangkap kita akan perangkap atau menembaknya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|