Industri minyak sawit hadapi masa sukar

Industri minyak sawit hadapi masa sukar

Kota Kinabalu: Industri minyak sawit sedang menghadapi masa sukar disebabkan peningkatan kos buruh, baja dan operasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia ditambah lagi dengan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang turun naik dari minggu ke minggu, di luar kawalan pemain industri.

Hajiji ketika menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad ke-137.

“Pada masa ini dengan harga MSM kini dalam jajaran RM3,500 per tan metrik ke RM4,000 per tan metrik, akan mengakibatkan kurangnya hasil untuk negeri Sabah berbanding awal tahun 2022.

“Justeru, adalah amat penting pada masa ini untuk lembaga pengarah dan pasukan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam industri sawit terus memantau dengan lebih teliti berkaitan kawalan kos operasi dan produktiviti pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad ke-137 di pejabatnya, di Menara Kinabalu, hari ini.

Bagaimanapun katanya, Sabah Softwoods Berhad menunjukkan prestasi yang baik pada dua suku pertama 2022.

“Saya amat bangga diberitahu bahawa akaun syarikat Sabah Softwoods dari awal tahun sehingga sekarang menunjukkan peningkatan hasil disebabkan oleh harga MSM yang baik, walaupun pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan MSM tidak mencapai sasaran yang kehendaki.

“Saya ingin melihat supaya lembaga pengarah dan pasukan pengurusan mencari jalan dan kaedah untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh dan kekangan logistik yang menghalang pengeluaran BTS,” katanya

Beliau yang juga Pengerusi Sabah Softwoods Berhad, yakin GLC berkenaan merekodkan hasil dan keuntungan lebih tinggi tahun ini dan boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham di samping memberi lebih banyak faedah dan manfaat kepada pekerja dari segi pembayaran gaji dan bonus.

Hajiji bagaimanapun mahu lembaga pengarah dan pasukan pengurusan bertekad mencapai yang lebih baik untuk maju ke hadapan dan menggunakan segala sumber untuk lebih proaktif serta produktif.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Softwood Bhd sempena Ulang Tahun Ke-50 syarikat itu yang akan disambut pada tahun depan dan mendoakan ia terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Terdahulu Hajiji melancarkan logo Ulang Tahun Ke-50 Sabah Softwoods Berhad.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Softwoods, Datuk Mohd Daud Tampokong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|