‘Superman’ dipenjara 8 bulan, denda kerana merempit

‘Superman’ dipenjara 8 bulan, denda kerana merempit

Tawau: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,800 selepas mengaku bersalah terlibat dengan aktiviti lumba haram tahun lalu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Mohd Azranshah Rahman,23, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Apas-Balung pada 1 Ogos 2021, jam11.30 malam.

Ketika kejadian, tertuduh melakukan aksi menduga kelajuan yang melibatkan dua buah motosikal di jalan berkenaan.

Azranshah juga dilihat menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ iaitu bertiarap di atas tempat duduk motosikal yang ditunggangnya.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengambil bahagian dalam pertandingan lumba haram.

Pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee meminta nahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Majistret Leona Dominic Majiliu kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000, atau penjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda.

Lesen memandu tertuduh turur digantung selama dua tahun bagi kesalahan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi kesalahan Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Azranshah dikenakan hukuman denda RM800 atau penjara sebulan jika gagal nembayarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|