Persidangan DUN: Semua penjawat awam negeri isytihar harta

Persidangan DUN: Semua penjawat awam negeri isytihar harta

Kota Kinabalu: Semua penjawat awam negeri Sabah mengisytiharkan harta selaras dengan kehendak Pekeliling Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata ketika ini seramai 21,091 penjawat awam negeri berkhidmat di seluruh negeri.

“Seramai 21,091 orang atau 100 peratus penjawat awam negeri telahpun mengisytiharkan harta selaras dengan kehendak Pekeliling Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Bil. 3/2017,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Katanya, bagi memastikan penjawat awam negeri berintegriti dan bersih daripada salah guna kuasa, semua proses kenaikan pangkat juga disyaratkan untuk melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dipertimbangkan.

Sementara itu, Abidin berkata Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) sedang menyiapkan kaedah untuk memberi imbuhan (insentif) kepada graduan yang sanggup mengambil pekerjaan lebih rendah daripada kelulusan akademik masing-masing.

“Kerajaan Negeri mengambil perhatian ke atas isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat ADUN Dilantik (Datuk Raimie Unggi) berhubung keadaan graduan di Sabah yang sanggup mengambil pekerjaan yang tidak berpadanan dengan kelulusan akademik,” katanya.

Dalam satu lagi isu mengenai pelajar cemerlang akademik yang tidak diberikan peluang dalam perkhidmatan awam negeri, Abidin menjelaskan ia disebabkan kepakaran khusus pelajar terbabit belum tersedia dalam perkhidmatan awam negeri.

“Berhubung dengan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Likas bahawa ramai penuntut cemerlang dalam bidang akademik tidak diberikan peluang dalam perkhidmatan awam negeri Sabah, majoriti penuntut cemerlang ini sebenarnya memiliki kelulusan yang khusus di mana kepakaran tersebut belum tersedia dalam perkhidmatan awam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|