Persidangan DUN: Usaha capai 60 peratus SSL tanaman padi diteruskan

Persidangan DUN: Usaha capai 60 peratus SSL tanaman padi diteruskan

Kota Kinabalu: Akiviti pembangunan tanaman padi akan terus dipergiatkan agar sasaran 60 peratus tahap sara diri (SSL)) dapat dicapai menjelang tahun 2030.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, usaha itu selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

“Fokus utama akan diberikan melalui kolaborasi bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Ia bagi meningkatkan hasil padi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik, sejajar dengan perkembangan teknologi semasa kepada semua golongan penanam padi di negeri ini.

“Kementerian saya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak FELDA Sahabat Wilayah Sabah untuk membangunkan tanaman padi seluas 11,000 hektar di Semenanjung Dent (Lahad Datu) sebagai langkah meningkatkan keluasan tanaman padi.

“Untuk makluman, kementerian melalui Jabatan Pertanian Sabah akan melaksanakan ‘plot percubaan (trial plot)’ di lokasi sebenar.

“Di samping itu juga, kementerian saya sedang menjalankan beberapa usaha dan tindakan untuk mempertingkatkan produktiviti dengan penanaman pelbagai pada baru dan juga dengan penanaman padi dua kali setahun, sekurang-kurangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Jeffrey berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan pembangunan tanaman makanan sejajar dengan usaha menjadikan Sabah sebagai hab makanan serantau.

“Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) merupakan projek ‘flagship’ kementerian, di mana setakat ini telah berjaya membangunkan 12 buah TKPM di seluruh negeri yang melibatkan keluasan 426.17 hektar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Program Penyelidikan dan Pembangunan memberi tumpuan kepada aspek peningkatan pengeluaran hasil tanaman bernilai tinggi, berkualiti, rintang penyakit serta tempoh pengeluaran hasil singkat.

“Tahun ini, kita telah mengumumkan dan melancarkan tujuh varieti tanaman teknologi baharu hasil daripada penyelidikan jabatan berkenan iaitu Avokado, Tarap, Nanas, Tuhau dan sebagainya,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|