Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup minyak masak, tong gas

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup minyak masak, tong gas

Lahad Datu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat bot yang membawa muatan pelbagai barang kawalan tanpa permit di perairan daerah ini, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam bin Nik Mohd Fauzi berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada orang awam mengenai kegiatan haram penyeludupan barang kawalan di sekitar perairan berkenaan ke negara jiran.

Anggota Maritim Malaysia memeriksa bot yang membawa muatan barang kawalan tanpa permit.

Katanya, bertindak ke atas maklumat itu, dua bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Pluto Timur di kawasan berkenaan mengesan empat bot dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Perairan Felda Sahabat menuju ke negara jiran, jam 12.05 tengah malam.

“Menyedari kegiatan mereka dikesan, keempat-empat bot itu memecut laju menyebabkan bot peronda mengekori sebelum bot suspek merapat ke daratan terdekat.

Bot membawa muatan barang kawalan tanpa permit ditahan.

“Dua lelaki berjaya ditahan manakala beberapa suspek berjaya meloloskan diri di kawasan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati dua lelaki iaitu juragan dan pembantunya warga asing berusia 30 dan 35 tahun membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas empat bot menemukan pelbagai barang kawalan berjadual iaitu 3,791 kilogram paket minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dan 16 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan yang ditahan gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan dan tong gas yang dibawa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Mohd Rizam berkata, bot dan muatan serta kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan, disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM174,611.20.

“Statistik tangkapan Zon Maritim Lahad Datu terkini merekodkan 43 kes pelbagai kesalahan. Daripada jumlah itu 10 kes direkodkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 sejak awal Januari 2022,” katanya.

Sementara itu, katanya Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras
aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku disekitar perairan Lahad Datu ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu 089-885727 dan talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|