Persidangan DUN: Momentum pelaburan diterima Sabah disasar terus meningkat

Persidangan DUN: Momentum pelaburan diterima Sabah disasar terus meningkat

Kota Kinabalu: Sejajar usaha Kerajaan Negeri menarik lebih banyak pelaburan, momentum penerimaan pelaburan di Sabah dijangka akan terus meningkat pada penghujung tahun ini dan tahun 2023.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal berkata, ia khususnya bagi pelaburan langsung asing (FDI) menerusi strategi-strategi yang telah dirangka.

Beliau berkata, seperti yang telah dimaklumkan, Sabah telah menerima pelaburan dari syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd daripada Korea Selatan dan syarikat Kumpulan Kibing daripada China, masing-masing dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.2 billion dan RM2 billion.

“Setakat ini status kemajuan pembinaan kilang kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd adalah pada kadar 48.3 peratus, ia dijangka akan siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2023.

“Manakala, status kemajuan pembinaan kilang pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi syarikat Kumpulan Kibing adalah pada kadar 14 peratus, ia dijangka akan siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pengulunggan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam pada itu, Tamin berkata, bagi pembinaan kilang pempopresan pasir silika syarikat Kumpulan Kibing di Sikuati Kudat, kelulusan Pelan Pembangunan (DP) telah diberikan kepada pihak pelabur untuk memulakan pembinaan.

“Selain itu, tawaran kelulusan bagi Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah dikemukakan kepada pihak pelabur bagi aktiviti pengekstrakan pasir silika,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan terus melipat gandakan usaha bagi menarik lebih banyak pelaburan terutamanya FDI ke negeri ini dan juga pelabur dalam negeri.

“Saya menyeru agar semua Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta sektor swasta terus bekerjasama dan memberikan sokongan kepada Kementerian saya agar semua cadangan pelaburan dapat direalisasikan demi pertumbuhan ekonomi negeri ini serta manfaat bersama,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|