Persidangan DUN: Sasaran kutipan hasil jualan air JANS capai 87 peratus

Persidangan DUN: Sasaran kutipan hasil jualan air JANS capai 87 peratus

Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) setakat ini berjaya mengutip 87 peratus daripada RM280 juta anggaran kutipan hasil jualan air yang disasarkan pada tahun ini.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik, berkata peratusan itu dijangka meningkat lagi menjelang akhir tahun ini menjadikan kutipan bagi tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu dan 2020.

Katanya, purata Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) pula kini pada tahap 62 peratus, namun disasar dapat diturunkan sehingga 52 peratus pada hujung tahun ini.

“JANS adalah sebuah jabatan yang bertanggungjawab ke atas perihal dan perancangan pembangunan infrastruktur bekalan air terawat di Sabah.

“Misi dan halatuju JANS untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah merancang dan membangunkan serta meningkatkan tahap perkhidmatan Sistem Bekalan Air yang mesra alam.

“Di samping itu, JANS membekalkan air yang selamat dan berterusan dari segi kuantiti dan kualiti kepada pengguna-pengguna air di Sabah,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau berkata perancangan dan pembangunan bekalan air bagi RMK12 pula dilaksanakan melalui Program-program Utama Bekalan Air Negeri Sabah.

Katanya, ia termasuk Program Pembangunan Bekalan Air Negeri di bawah biayaan Kerajaan Negeri; Program Bekalan Air Serta-Merta Rancangan Bekalan Air Negeri Sabah melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA); dan Geran Persekutuan untuk Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) persekutuan.

“Sehingga kini, JANS telah membelanjakan sebanyak RM391.09 juta atau 86.3 peratus daripada peruntukan yang telah diluluskan pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Robert berkata kementeriannya menerima peruntukan RM1.16 bilion dalam Belanjawan 2023 yang melibatkan program pembangunan infrastruktur

Katanya, ia meliputi program jalan raya, sistem bekalan air dan pembentungan serta sistem pengangkutan ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

“Kementerian ini ingin merakamkan kesyukuran dan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas keprihatinan mengurangkan kekangan kewangan yang dihadapi selama ini.

“Tentu sekali, Tema Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh YAB Ketua Menteri iaitu ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ yang menumpukan memacu pelaksanaan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi kemajuan Negeri ini.

“Kementerian Kerja Raya Sabah mendukung dan sangat komited dalam memastikan agar halatuju dan objektif yang digariskan dalam dasar tersebut dapat dicapai mengikut rangka masa yang ditetapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|