Suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bermula hari ini

Suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bermula hari ini

Kota Kinabalu: Pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun dilaksanakan serentak menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di seluruh negara bermula hari ini.

Bagi di Sabah, vaksin khas untuk kanak-kanak itu disediakan di 251 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdiri daripada hospital dan klinik kerajaan serta swasta di seluruh negeri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini sudah membuka tempahan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak masing-masing bagi mendapatkan vaksin berkenaan melalui aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, ibu bapa di negeri ini turut dibenarkan untuk datang secara ‘walk-in’ bagi mendapatkan vaksin kanak-kanak di mana-mana PPV yang beroperasi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, dilaporkan berkata ibu bapa yang belum mendaftarkan anak melalui aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana mereka boleh datang terus ke hospital atau klinik.

Katanya, petugas yang melaksanakan pemberian vaksin untuk kanak-kanak juga sudah diberi latihan kaedah untuk mengendalikannya bagi memastikan proses pemberian vaksin kanak-kanak berjalan lancar.

“JKNS sudah membuat persiapan dengan membuka 251 PPV termasuk hospital, klinik kerajaan dan swasta di seluruh Sabah. JKNS juga sudah memberi latihan kepada semua anggota terlibat dalam PPV ini bagaimana cara pemberian vaksin kepada kanak-kanak,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Selain itu, katanya JKNS juga sedia datang ke mana-mana sekolah yang meminta pihaknya untuk menjalankan pemberian vaksin di sekolah.

Setakat ini, hanya vaksin jenis Pfizer diberikan kepada kanak-kanak mengikut dos yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

Ketika ini, kanak-kanak yang belum layak divaksin adalah antara golongan yang ramai dijangkiti Covid-19 di Sabah.

Berikutan itu, pemberian vaksin untuk golongan kanak-kanak disasar dapat menguatkan sistem pertahanan badan mereka terhadap jangkitan virus Covid-19 bagi mengelak kesan yang teruk.

Di Kuala Lumpur, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika melancarkan PICKids hari ini berkata, kira-kira empat juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak menerima Vaksin mRNA iaitu Comirnaty®️ 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech).

Katanya, dos vaksin berkenaan adalah sepertiga (1/3) daripada dos dewasa iaitu sebanyak 0.2 ml vaksin yang akan diberikan di lengan kiri atau kanan; atau di paha bahagian anterolateral dengan sebanyak dua dos diperlukan untuk melengkapkan imunisasi dalam sela masa lapan minggu.

“Sebagai makluman vaksin Covid-19 diberikan untuk mengurangkan risiko jangkitan Covif-19; Long Covid-19; komplikasi seperti Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C); dan kematian,” katanya dalam kenyataan dipetik dari Facebook KKM.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|