Peniaga hasil laut Kampung Binsuluk minta naik taraf gerai

Peniaga hasil laut Kampung Binsuluk minta naik taraf gerai

Membakut: Lebih 10 peniaga menjual hasil laut di Kampung Binsuluk, di sini, berharap supaya gerai mereka dapat dinaik taraf sebagai sebuah deretan kedai yang lebih selesa untuk aktiviti berniaga.

Tinjauan wartawan di lokasi itu mendapati, deretan gerai yang menjual pelbagai hasil laut di kawasan berkenaan difahamkan dibina sejak 20 tahun lalu.

Selain itu, terdapat hampir 20 deretan gerai terletak di tepi jalan raya yang dikhuatiri membahayakan keselamatan peniaga dan pengunjung di kawasan berkenaan.

Norilah Bidin

Menurut peniaga, Norilah Bidin, 55, dia sudah berniaga di gerai itu sejak tahun 2000 dan sehingga kini tidak pernah dinaik taraf walaupun peniaga di kawasan berkenaan pernah memohon untuk tujuan itu.

Norilah mendakwa bahawa permohonan untuk menaik taraf deretan gerai berkenaan sudahpun diluluskan namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Kami pernah suarakan perkara ini supaya gerai menjual pelbagai hasil laut di sini dapat dinaik taraf tetapi sehingga kini belum ada khabar berita mengenainya.

“Kami juga difahamkan bahawa permohonan untuk menaik taraf sudah diluluskan tetapi tiada juga sebarang tindakan diambil,” katanya ketika ditemui digerainya di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Norilah berharap supaya pihak berkaitan dapat melihat keadaan gerai mereka yang digunakan untuk berniaga di kampung berkenaan.

“Kawasan ini agak terkenal dan sering menjadi persinggahan pengunjung dari daerah lain terutama Labuan, Keningau, Ranau dan Kota Kinabalu untuk membeli hasil laut seperti tuntul, ikan, bubuk dan belacan.

“Jadi memandangkan keadaan gerai agak usang, kami sendiri perbaikinya jika ada kerosakan namun dalam masa yang sama kami berharap ada pihak dapat membantu supaya gerai kami ini lebih selesa untuk dikunjungi orang ramai,” katanya.

Mazzary Moggo

Sementara itu, seorang lagi peniaga Mazzary Moggo, 22, mengharapkan perkara yang sama supaya keselamatan peniaga serta pelanggan turut terjamin.

“Walaupun belum pernah berlaku kejadian tidak diingini tetapi tetap berbahaya kerana gerai kami betul-betul berada di tepi jalan raya di mana banyak kenderaan lalu di kawasan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|