Lelaki ‘dikepung’ kerana memandu secara berbahaya, langgar lampu isyarat

Lelaki ‘dikepung’ kerana memandu secara berbahaya, langgar lampu isyarat

Kota Kinabalu: Rakaman video memaparkan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ‘mengepung’ sebuah bangunan di pekan Donggongon, Penampang, tular dalam media sosial hari ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi tadi, turut memaparkan sepasukan polis menahan seorang lelaki di kawasan bangunan berkenaan menyebabkan ada netizen mengaitkannya dengan kes berat.

Rakaman video yang sempat diambil oleh orang awam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun katanya ia tiada kaitan dengan jenayah berat.

Katanya, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan selepas bertindak melarikan diri daripada diperiksa selepas memandu secara bahaya.

“Sepasukan polis yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah di lampu isyarat berhampiran Taman Fortuna, Luyang mengesan sebuah kereta jenis Toyota Hilux yang memecut laju dan melanggar lampu isyarat.

“Disebabkan itu, pasukan polis bertindak mengejar sehingga pemandu berjaya ditahan di bangunan sebuah restoran makanan segera di pekan Donggongon, Penampang,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan pemandu itu seorang lelaki dan didapati dia gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Luyang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|