Sumbangan kereta 4WD bantu Jabatan Perhutanan tangani jenayah hutan, hidupan liar

Sumbangan kereta 4WD bantu Jabatan Perhutanan tangani jenayah hutan, hidupan liar

Sandakan: Penambahan empat lagi kenderaan pacuan empat roda menerusi sumbangan Yayasan Sime Darby kepada Jabatan Perhutanan Sabah akan memantapkan lagi penguatkuasaan undang-undang hutan di negeri ini.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan berkata, jabatan itu komited untuk meningkatkan keupayaan menangani jenayah hutan dan hidupan liar di negeri ini.

Frederick mencuba kenderaan baharu yang diterima Jabatan Perhutanan melalui Bahagian Siasatan, Penguatkuasa dan Pendakwaan di Sandakan.

“Ini selaras tugas statutorinya untuk melindungi dan memelihara khazanah hutan Sabah. Salah satu usaha yang diambil adalah memantapkan penguatkuasaan melalui pemantauan di lapangan dengan lebih berkesan.

“Jabatan Perhutanan memerlukan kelengkapan kemudahan logistik sesuai dengan bidang tugas yang dijalankan di lapangan dan kenderaan itu adalah untuk kegunaan operasi pasukan elit dikenali pasukan PROTECT,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan kenderaan jenis Ford Ranger kepada Bahagian Siasatan, Penguatkuasa dan Pendakwaan di pekarangan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan pasukan PROTECT pada 2016 dengan sokongan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia banyak memberi impak kepada penguatkuasaan undang-undang jenayah hutan dan hidupan liar di negeri ini.

“Pasukan ini dilatih secara taktikal dan dilengkapi dengan peralatan sokongan seperti senjata api selaras dengan cabaran penguatkuasaan jenayah hutan dan hidupan liar masa kini.

“Operasi pasukan PROTECT kini tidak hanya tertumpu di kawasan hutan pedalaman sahaja tetapi diperluaskan ke kawasan sungai dan hutan bakau,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini sebanyak lima kenderaan diterima pada 2020 dan dengan tambahan empat lagi kenderaan pada tahun ini akan meningkatkan lagi keupayaan penguatkuasaan Jabatan Perhutanan.

“Sumbangan kenderaan daripada Yayasan Sime Darby (YSD) itu adalah sebahagian daripada perjanjian dan kerjasama penajaan oleh YSD berjumlah RM4 juta kepada JPS dan Danau Girang Field Centre Sdn Bhd (DGFCSB) bagi tempoh Jun 2019 sehingga Ogos 2021.

“Objektif utama persefahaman ini adalah untuk memperkasa penguatkuasaan Jabatan Perhutanan dalam menangani isu kesalahan hutan dan hidupan liar, khasnya pemburuan haram di Sabah,” katanya.

Frederick berkata, penajaan itu meliputi pengambilan renjer tambahan bagi pasukan PROTECT serta seorang pegawai penganalisis jenayah, perolehan logistik, pembelian peralatan lapangan dan latihan.

“YSD banyak menyumbang dalam penguatkuasaan memerangi jenayah hutan dan pemburuan haram hidupan liar di Sabah.

“Dengan itu, Jabatan Perhutanan dapat meningkatkan intensiti dan keupayaan penguatkuasaan di lapangan seterusnya melindungi dan memelihara khazanah hutan di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|