Wanita larikan kereta curi berdepan empat pertuduhan

Wanita larikan kereta curi berdepan empat pertuduhan

Kota Kinabalu: Seorang wanita yang tular di media sosial selepas cuba melarikan sebuah kenderaan curi pada minggu lalu berdepan empat pertuduhan ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, Martini Abdul Ghani, 35, ketika semua pertuduhan dibacakan terhadapnya menerusi prosiding yang dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh antara jam 10 pagi hingga 11.30 pagi pada 14 Februari lalu di Jalan Sepanggar, dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap empat anggota polis selaku penjawat awam dengan niat menghalang mereka menjalankan tugas mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh pada kira-kira jam 8.30 pagi, 12 Februari lalu di kawasan Segama, Kota Kinabalu, didakwa melakukan kesalahan mencuri sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 14 Februari lalu antara jam 10 pagi hingga 11.30 pagi di Jalan Sepanggar, di sini, didakwa memandu kenderaan terbabit secara melulu tanpa mengambil kira keadaan jalan dan bahaya kepada orang awam mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif terhadap dadah jenis methaphetamine.

Mahkamah menetapkan 11 dan 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi pertuduhan pertama sehingga ketiga manakala sebutan semula kes untuk pertuduhan keempat ditetapkan pada 21 April depan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Kelvan Elson Maik.

Pada 14 Februari lalu, tular satu video mengenai sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilaporkan hilang dikesan dipandu seorang suspek wanita yang cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis dalam kejadian di Jalan Sepanggar, di sini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|