Kota Kinabalu: Satu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan dalam masa terdekat iaitu di Johor berikutan pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) hari ini.
Ia selepas Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim, petang tadi.
Kenyataan itu turut memaklumkan, sebelum itu Baginda Tuanku Sultan berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Dato’ Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada jam 5 petang tadi.
Berangkat sama, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Pada pertemuan bersama Baginda Tuanku Sultan, Dato’ Hasni turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Negeri Johor.
Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim yang Ke-14 termansuh pada 22 Januari 2022.
Sebelum ini, tiga PRN sudah diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bermula dengan PRN Sabah pada September 2020, diikuti PRN Melaka dan PRN Sarawak, masing-masing pada November dan Disember tahun lalu.
-Deasoka