Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Ismail Sabri menyatakan permohonan itu menerusi perkongsian di laman Facebook beliau selepas menziarahi Tun Dr Mahathir, di IJN petang tadi.
“Tiba di Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi untuk menziarahi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di IJN.
“Saya bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya Tan Sri Mokhzani bertanyakan khabar dan keadaan Tun Mahathir.
“Saya mohon seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa kepada Allah semoga Tun Mahathir segera sembuh dan kembali sihat walafiat,” katanya.
Lporan media hari ini menyatakan Tun Dr Mahathir dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN.
Tun Mahathir, 96, yang juga Ahli Parlimen Langkawi sebelum ini baru saja dimasukkan ke IJN bagi menjalani prosedur perubatan elektrif pada 7 Januari lalu sebelum dibenar keluar enam hari kemudian.
-Deasoka