Putatan: Kerajaan negeri terus komited dalam menyantuni rakyat jelata menerusi pelbagai inisiatif ‘merakyatkan perkhidmatan’ kepada masyarakat umum.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ini termasuklah program ‘Homeward’ yang merupakan salah satu program di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Individu yang memerlukan rawatan dari rumah, kita akan meminjamkan katil boleh laras dan beberapa keperluan lain mengikut keperluan mereka.
“Perkhidmatan pakar fisio dan jururawat di rumah dari Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah juga disediakan mengikut keperluan pesakit menurut nasihat pakar perubatan.
“Program Homeward ini merupakan salah satu daripada program Sabah Maju Jaya yang membuktikan bahawa kerajaan Negeri Sabah prihatin kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan katil boleh laras kepada salah seorang penerima di bawah program ‘Homeward’ di Putatan petang tadi.
Shahelmey menasihatkan orang ramai yang layak mendapatkan perkhidmatan program ‘Homeward’ untuk menghubungi pegawai kebajikan daerah masing-masing bagi tujuan pendaftaran.
“Kepada mereka yang memerlukan perkhidmatan program ‘homeward’ boleh menghubungi pegawai Kebajikan daerah masing-masing.
“Kita akan membuat tindakan susulan bagi tujuan keselesaan kumpulan sasar” Katanya.
-Deasoka