Program Cream@YWE mampu memperkasa wanita muda di Sabah

Program Cream@YWE mampu memperkasa wanita muda di Sabah

Kota Kinabalu: Usaha memperkasa golongan wanita di Sabah perlu diperkemaskan sejajar peranan mereka sebagai penggerak pembangunan modal insan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata usaha itu juga penting memandangkan golongan wanita turut menjadi penggerak ekonomi negara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya

“Kementerian saya menetapkan masyarakat prihatin dan bertanggungjawab sebagai teras utama perkhidmatan dalam memenuhi tanggungjawab pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat yang mampan.

“Justeru, pemerkasaan wanita perlu diperkemaskan kerana wanita dilihat sebagai daya penggerak kepada pembangunan modal insan termasuk ekonomi negara,” katanya.

Shahelmey (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta program Cream@YWE.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Seminar Aspirasi dan Inspirasi Creating Millionaires Among Young Women Entrepreneuers Kumpulan 2 (Cream@YWE Kumpulan 2) 2021-2022, di sini, hari ini.

Seminar berkenaan dianjurkan Majlis Perwakilan Wanita Sabah (MPWS) yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman.

Sahahelmey berkata, pelaksanaan seminar itu adalah antara usaha yang dapat memperkasakan lagi golongan wanita dan memberi galakan kepada wanita muda menjadi usahawan yang berdaya saing.

“Selain itu, menerusi usaha ini wanita juga mampu melakar kejayaan untuk diri sendiri dan seterusnya menaikkan imej Sabah dengan melahirkan jutawan dalam kalangan usahawan muda,” katanya.

Cream@YWE adalah program keusahawanan yang membabitkan usahawan wanita muda yang memasuki program kedua pada tahun ini dengan seramai 45 usahawan wanita muda terpilih menyertainya selama enam bulan.

Shahelmey turut menyatakan harapannya agar program itu dapat membantu dalam meningkatkan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan selain menguatkan ilmu pemasaran secara maya atau bersemuka.

“Ilmu ini amat penting dengan suasana sekarang di mana pandemik Covid-19 masih lagi menjadi masalah kesihatan dunia.

“Dengan norma-norma baharu ini, kita haruslah mengembangkan perniagaan dengan mendalami arus pendigitalan dan meraih faedah daripada perkembangan teknologi digital.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|