Kerajaan Filipina diminta bantu rakyat mereka di Sabah yang ditimpa musibah

Kerajaan Filipina diminta bantu rakyat mereka di Sabah yang ditimpa musibah

Penampang: Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jafery Jomion meminta supaya kerajaan Filipina atau Pentadbiran Kebajikan Pekerja Luar Negara (OWWA) Filipina membantu rakyat mereka yang terjejas akibat kebakaran di negeri ini.

Beliau berkata, mengikut rekod Jabatan Kebajikan yang menguruskan mangsa kebakaran di Kampung Mogoputi, di sini, terdapat 154 orang dipercayai warga Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

Jafery (tengah) melawat mangsa kebakaran di Dewan Kebudayaan Penampang selepas hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Kampung Mogoputi, Penampang.

Katanya lagi, semua mangsa berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kehilangan tempat tinggal berikutan kebakaran yang berlaku pada Rabu lalu di Kampung Mogoputi.

“Mengikut rekod, mangsa yang ditempatkan di penempatan sementara, hanya enam mangsa adalah warga tempatan, tujuh warga Filipina pemegang penduduk tetap dan tujuh warga Filipina pemegang dokumen IMM13 manakala selebihnya iaitu seramai 154 adalah individu yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Jadi kita mohon kerajaan Filipina atau OWWA yang berpusat di negara itu boleh membantu warga mereka sendiri kerana tiada mangsa lain berasal dari negara lain ataupun Indonesia,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Kebudayaan Penampang pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Jafery turut meminta supaya pemilik rumah sewa tidak membina rumah terlalu rapat kerana keadaan itu turut mengundang bahaya jika berlaku kebakaran di mana ia akan merebak dengan cepat sekali gus memusnahkan rumah berhampiran.

“Hasil pemeriksaan, rata-rata mereka adalah penyewa membabitkan 29 pintu rumah dan tempat mereka tinggal juga padat.

“Keadaan ini sangat bahaya kepada penyewa itu sendiri dan pemberi sewa juga patut melihat semula keadaan ini supaya tidak membina rumah terlalu dekat,” katanya.

Tambah Jafery lagi, pihak berkuasa tempatan juga harus memainkan peranan bagi mengelak kejadian itu berulang.

“Kita mohon juga kepada PBT dan semua agensi kerajaan menetapkan garis panduan untuk membina rumah sewa yang melebihi satu unit ke atas perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

“Ini termasuk dari segi aspek keselamatan, penempatan lebih teratur dan rekod imigresen perlu dikemas kini,” katanya.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Ketua Kampung Mogoputi, Rosina Joeman Ros; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mogoputi, Stefania Richard dan Ketua Pemuda STAR Bahagian Kapayan, Nelson Martin Idang.

Dalam kejadian Rabu lalu, seramai 174 daripada 29 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka diami musnah terbakar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|