Sabah bakal kembali jadi kubu kuat BN – PBRS

Sabah bakal kembali jadi kubu kuat BN – PBRS

Putatan: Sabah dijangka kembali menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Keyakinan itu disuarakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berikutan kemasukan lebih ramai ahli ke dalam parti komponen BN.

Joseph (dua kanan) menyampaikan watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Penaja PBRS Tanjung Keramat kepada Alex (kanan) di Putatan.

Katanya, situasi itu membuktikan rakyat Sabah masih menyokong perjuangan dibawa BN dalam membela nasib rakyat, khususnya di negeri ini.

“Kami lihat begitu (kubu kuat BN), sebab ketika ini mereka (rakyat) lihat hanya BN yang boleh membela nasib rakyat di Sabah dan mereka tertarik dengan keadaan BN.

Alex (kanan) menyerahkan borang keahlian PBRS kepada Joseph (dua kanan).

“Saya juga lihat banyak bahagian yang minta (kemasukan ahli), bukan kami yang jumpa mereka tetapi mereka sendiri datang untuk menubuhkan Bahagian PBRS,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran PBRS Bahagian Tanjung Aru dan Tanjung Keramat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Penaja PBRS Tanjung Keramat, Alex Among; Ketua Bahagian Penaja PBRS Tanjung Aru, Addy Noran Sukiran dan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Noor Mohamad.

Katanya lagi, beliau percaya dengan keahlian PBRS melebihi 100,000 ketika ini membuktikan bahawa parti itu semakin kukuh.

“Setakat ini, saya tidak tahu berapa sudah ahli tetapi pada mulanya, kita mempunyai lebih kurang 70,000 keahlian dan baru-baru ini keahlian PBRS sudah meningkat 100,000 lebih dan ini bererti bahawa PBRS semakin lama, semakin kuat.

“Saya percaya mereka tertarik dengan perjuangan PBRS yang selama ini bersama-sama BN kerana kita punya pendirian dalam UMNO memperjuangkan nasib rakyat dengan konsisten walaupun susah dan senang,” katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung pembahagian kerusi untuk PRU akan datang, bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, perkara terbabit terlalu awal untuk dibincangkan.

“Kita harus eratkan dulu hubungan (antara parti). Walaupun perhubungan kita dengan rakan BN kuat tetapi kita akan perkukuhkan lagi.

“Mengenai pembahagian kerusi, terlalu awal untuk kita bercakap mengenainya,” katanya.

Diminta mengulas berhubung cadangan untuk mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Joseph berkata, keputusan mengenainya perlu dibincang terlebih dahulu di antara semua parti dalam gabungan itu.

“Saya fikir itu kena bagi kita berbincang bagaimana kerana ada beberapa ahli parti dan setakat pengetahuan saya, ini baru cadangan belum pun kami duduk bersama untuk berbincang secara mendalam berkaitan dengan perkara itu,” katanya.

Pada majlis itu Joseph menerima lebih 3,000 borang keahlian untuk menyertai PBRS dari Bahagian Tanjung Aru dan Tanjung Keramat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|