Kuala Lumpur: Gandingan Myra Amira Roslan dan Yan Jia Chi muncul juara untuk kotakan sasaran satu emas skuad Muaythai Sabah pada SUKMA XX di sini hari ini.
Emas itu diraih Myra dan Jia Chi dengan ctatan 8.90 mata dalam acara Waikaru/Mai Muaythai – Seni Duo wanita pada pertandingan yang berlangsung di South City Plaza, Seri Kembangan.
Pingat Perak dimenangi Wilayah Persekutuan menerusi gandingan Nur Ameera Mohd Asri dan Nurul Ain Ismail dengan catatan 8.83 mata.
Skuad Muaythai Sabah berpeluang meraih emas kedua tetapi gandingan Farris Muzzamiel Mahadi dan Thien Zhi Cheng tewas tipis gandingan Wilayah Persekutuan (Mohd Ali Ismail dan Muhammad Taufiq Izazi Safiee) dalam acara sama kategori lelaki.
Farris dan Zhi Cheng mencatat 9.00 mata untuk akur hanya dapat pingat perak, ketinggalan 0.1 mata sahaja kepada gandingan Ali dan Taufiq yang meraih emas dengan catatan 9.10 mata.
Pengurus pasukan skuad Muaythai Sabah, Ir Hj Nazri Abd Razak berkata ia adalah kilauan emas bersejarah terutama sukan itu dipertandingakan buat kali pertama di SUKMA.
“Kami sudah menang satu pingat emas dan satu perak. Tentunya ia adalah pencapaian yang sangat membanggakan.
“Atlet wanita mempamerkan prestasi cemerlang… gandingan lelaki pula tewas tipis pada penentuan emas tetapi mereka telah memberikan yang terbaik.
“Apapun, ia adalah detik bersejarah bagi Muaythai Sabah,” kata Nazri yang juga Presiden Persatuan Muaythai Sabah.
Ia adalah peningkatan pencapaian skuad Muaythai Sabah selepas memulakan cabaran dengan hanya satu gangsa menerusi Eva Anastasia Warren dalam acara tempur wanita 45-48kg kelmarin.
“Walaupun sudah capai sasaran, kami tidak akan leka kerana masih ada beberapa acara kita bertanding… ada atlet kita yang sudah mara ke pusingan separuh akhir… bermakna tinggal tunggu pingat warna apa sahaja. Kami akan cuba yang terbaik,” kata Nazri ketika dihubungi.
-Deasoka