Bukan ‘demand’, kita tuntut janji – Masidi

Bukan ‘demand’, kita tuntut janji – Masidi

Sandakan: Sabah bukan mendesak untuk mendapatkan satu pertiga daripada kerusi Parlimen mewakili negeri ini dan Sarawak seperti disuarakan pemimpinnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, sebaliknya berkata Sabah hanya mahu menuntut semula apa yang dijanjikan pada awal pembentukan Malaysia.

Katanya, perkara itu harus difahami dengan baik memandangkan ia sudah dipersetujui dan hanya perlu untuk ditunaikan.

“Sebenarnya bukan kita minta, ini yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak, ini dua perkara yang berbeza.

“Kita tidak mendesak, kita hanya meminta mereka (Persekutuan) menunaikan janji yang mereka, iaitu Persekutuan Tanah Melayu sudah setuju pada masa itu.

“Jadi, jangan salah faham, ini bukan soal minta, kita hanya minta kawan sebelah (Persekutuan) untuk menunaikan apa yang mereka sendiri sudah bersetuju daripada awal,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerjanya di sini, hari ini.

Masidi yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, negeri Borneo perlu mendapatkan satu pertiga kerusi Parlimen kerana mereka berhak menyertai dalam membuat keputusan penting di Dewan Rakyat.

“Isunya lebih kepada memastikan Sabah dan Sarawak berada dalam kedudukan di mana mereka boleh menjadi penentu bersama kepada keputusan-keputusan penting.

“Salah satu daripada perkara tersebut ialah untuk Sabah dan Sarawak memiliki satu pertiga kerusi di Parlimen kerana ini bermakna Sabah dan Sarawak secara tidak langsung mempunyai kuasa veto terhadap undang-undang yang dianggap tidak memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penambahan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri dapat direalisasikan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|