Forum Minds for Malaysia 2022 memperkasa golongan belia

Forum Minds for Malaysia 2022 memperkasa golongan belia

Kuala Lumpur: Forum Minds for Malaysia 2022 dan Exposisi Pemerkasaan Belia: Melakar Masa Depan yang bakal berlangsung di ibu negara pada November depan disasar untuk membina dan menyediakan kumpulan belia yang kekal relevan sejajar dengan perubahan iklim pekerjaan dan industri pada masa depan.

Pengerusinya, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, ia dapat dicapai dengan memberikan panduan yang terbaik kepada golongan belia untuk menjadikan mereka sebagai tenaga kerja yang kekal relevan dengan era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Ekonomi Digital.

“Objektif penganjuran acara ini adalah untuk merangka bentuk pemikiran kerjaya yang sesuai dalam kalangan belia kita serta membentuk satu jangkaan yang realistik mengenai alam pekerjaan yang bakal atau yang telah mereka tempuhi.

“Program ini juga ingin memberikan pendedahan kepada belia mengenai peluang pekerjaan era Ekonomi Digital dan IR 4.0, di samping mengetengahkan keusahawanan belia dan keusahawanan sosial serta kemahiran Teknikal dan Vokasional,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Katanya, Yayasan Go Strong Malaysia menjadi penganjur utama acara itu, manakala Yayasan MyProdigy Malaysia sebagai penganjur bersama.

Sehingga kini, katanya Yayasan Go Strong Malaysia telahpun melaksanakan pelbagai program pembangunan belia, khususnya untuk belia yang berada dalam kelompok B40 serta mereka yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Pengerusi bersama Minds For Malaysia 2022, Senator Jaziri Alkaf A Suffian berkata, berdasarkan maklum balas mengalakkan daripada orang ramai, pihaknya yakin golongan belia tempatan memerlukan program seumpama itu.

“Berdasarkan jumlah penyertaan yang mencecah 12,451 orang pada program secara maya Minds For Malaysia 2021, kami mendapati kumpulan belia sangat memerlukan panduan dan maklumat untuk membantu kebolehpasaran mereka dan dapat menyumbang kepada masyarakat.

“Tahun ini kami inginkan program Minds For Malaysia yang memberikan lebih impak dan memenuhi keperluan strategik dengan menyediakan platform dan ruang yang membolehkan kumpulan belia berinteraksi secara terus dengan bakal majikan dan agensi kerajaan.

“Di samping mengambil peluang untuk belajar dari sesi perkongsian-ilmu melalui sidang forum, inisiatif ini juga dapat menyumbang kepada agenda negara untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia,” katanya.

Selain tajuk forum yang menarik seperti ‘Gig Economy and Freelancing – A Whole New Future of Work’, ‘Breaking Stigmas – Cultivating TVET Talents with the rise of IR 4.0’ dan ‘Empowering Youths Through Entrepreneurship and Social Entreprises’, peserta dan pengunjung turut berpeluang untuk melihat pameran agensi kerajaan, badan korporat serta usahawan.

Uniknya reruai pameran kali ini akan disusun mengikut kluster berdasarkan minat belia masa kini seperti Seni & Budaya, Digital, Sukan & Rekreasi, Ekonomi Gig dan sebagainya.

Golongan belia boleh meneroka peluang kerjaya yang ditawarkan dan sejauh manakah potensi dalam bidang tertentu sesuai dengan minat masing-masing manakala pengunjung akan berpeluang untuk mempelajari pelbagai panduan dan persediaan ke alam pekerjaan daripada pakar sumber manusia.

Program itu terbuka untuk semua belia yang terdiri daripada penuntut pusat pengajian tinggi, kolej atau lepasan sekolah, lepasan ijazah dan mereka yang baru bekerja.

Pendaftaran adalah percuma, namun sesi forum terhad kepada 200 peserta untuk setiap topik dan mereka yang berminat untuk menyertainya dikehendaki mendaftar secara dalam talian di laman sesawang www.mindsformalaysia.com.

Acara yang akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) selama dua hari itu bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 5 November depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|