SUKMA XX: Gandingan Gabriel, Julfaddli buat kejutan raih emas terjun

SUKMA XX: Gandingan Gabriel, Julfaddli buat kejutan raih emas terjun

Kuala Lumpur: Gabriel Gilbert Daim dan gandingan bidan terjunnya, Julfaddli Jali membuat kejutan apabila meraih pingat emas acara terjun seirama papan anjal 3m SUKMA XX di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Gabriel dan Julfaddli yang hanya berlatih bersama kelmarin mengumpul 317.17 mata untuk Sabah memulakan acara terjun dengan pingat emas.

Pingat perak dimenangi gandingan Nurqayyum Nazmi dan Yong Rui Jie (Wilayah Persekutuan: 308.40 mata) manakala pingat gangsa milik Elvis Priestly dan Soh Tze Kang (Sarawak: 303.84 mata).

Pengurus pasukan, Khairul Safwan Mansur berkata, ia adalah di luar jangkaan Gabriel yang juga atlet terjun kebangsaan dan Julfaddli menang pingat emas.

“Gabriel sepatutnya berganding dengan Jellson Jabilin tetapi Jellson masih dalam proses pemulihan dari kecederaan yang dialami semasa Sukan Komanwel.

“Oleh itu, kami memutuskan menggandingkan Gabriel dengan penerjun negeri, Julfaddli dan mereka hanya berlatih bersama buat kali pertama kelmarin untuk dapatkan keserasian.

“Sebelum itu, kami ada berkomunikasi dengan Gabriel berhubung pelan menghadapi SUKMA dan dia juga telah berlatih bersama kami selama lapan bulan. Oleh itu kami tahu kemampuannya.

“Bagaimanapun kami tidak menjangkakan menang pingat emas terutama selepas kecederaan yang dialami gandingan sebenarnya, Jellson. Sebab itu, kami sangat gembira dengan kemenangan ini dan kini lebih bertekad untuk mencapai dua pingat emas yang disasarkan,” kata Khairul ketika dihubungi.

Disamping pingat emas itu, skuad terjun Sabah juga menang pingat gangsa menerusi gandingan Julfaddli dan Muhd Anilrian dalam acara terjun seirama platform dengan kutipan 291.78 mata.

Pingat emas dimenangi gandingan Elvis/Jared Aiden (Sarawak: 334.44 mata) manakala pingat gangsa milik Nurqayyum/Rui Jie (Wilayah Persekutuan: 329.82 mata).

“Gabriel sandaran kami untuk menang emas kedua dalam acara papan anjal 3m,” kata Khairul yang juga bekas atlet terjun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|