Lelaki disyaki cuba bunuh diri hilang gagal dikesan

Lelaki disyaki cuba bunuh diri hilang gagal dikesan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas disyaki cuba membunuh diri di rumah abang tunangnya, di sebuah apartment di Jalan Sulaman, Manggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit dikatakan sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berserta gambar kepada tunangnya.

Panik dengan situasi berkenaan, tunang lelaki terbabit terus menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mengikut siasatan awal, lelaki terbabit menunjukkan gambar sehelai kain sarung yang diikat pada kipas siling rumah kepada tunangnya menerusi SMS.

Katanya, tunang lelaki terbabit menerima beberapa lagi SMS yang menzahirkan seolah-olah mahu membunuh diri.

“Wanita itu terus menghubungi pihak bomba untuk meminta pertolongan dan sebaik pihak bomba tiba, lelaki terbabit tidak berada di rumah berkenaan.

“Pihak bomba bagaimanapun, ada menemui nota dan kain sarung yang terikat di kipas siling rumah dan terus memaklumkan semula kepada wanita terbabit,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, wanita itu kemudiannya membuat laporan susulan bagi meminta polis menjejaki keberadaan tunangnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|