SUKMA XX: Aksi sulung Anil berjaya sumbang gangsa untuk skuad terjun

SUKMA XX: Aksi sulung Anil berjaya sumbang gangsa untuk skuad terjun

KUALA LUMPUR: Sabah menang pingat gangsa menerusi Muhammad Anilrian Normatrud Abdullah dalam acara platform individu lelaki pada hari terakhir pertandingan terjun SUKMA XX di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Sebagai muka baru yang membuat penampilan sulung, ia adalah pencapaian di luar jangkaan terutama Anilrian bersaing dengan atlet lebih berpengalaman termasuk atlet kebangsaan dalam acara itu.

Anilrian mengumpul 321.90 mata manakala pingat emas dan perak dimiliki penerjun Sarawak, Bertrand Rhodict (pingat emas: 395.05 mata) dan Elvis Priestly (pingat perak: 372.10 mata).

Pengurus pasukan, Khairul Safwan Mansur berkata, Bertland ialah atlet elit kebangsaan dan memang merupakan pilihan utama untuk meninggalkan peserta lain hanya bersaing merebut pingat perak dan gangsa sahaja.

Katanya, Elvis yang menang pingat perak juga merupakan salah seorang daripada beberapa atlet pelapis kebangsaan yang bertanding dalam acara itu.

“Sebab itu, untuk Anilrian naik ke podium sebagai pemenang pingat gangsa bermakna dia telah mengatasi ramai atlet pelapis kebangsaan…ia adalah pingat gangsa yang tidak dijangka dari Anilrian,” kata Safwan ketika dihubungi.

Safwan berkata, secara keseluruhannya beliau gembira dengan prestasi dan pencapaian skuad terjun yang merangkul dua pingat emas dan dua gangsa.

“Kami akan terus berkerja keras menghadapi SUKMA akan datang,” kata Khairul sambil berterima kasih kepada semua anggota skuad terjun termasuk jurulatih, James Sandayud yang merupakan antara watak penting kejayaan skuad terjun Sabah.

Khairul berkata, kecuali atlet kebangsaan, Gilbert Gabriel Daim, semua atlet Sabah lain pada SUKMA kali ini masih layak bertanding di SUKMA akan datang.

Atlet lain dalam skuad terjun Sabah ialah Junior Albert John, Shahrizal Asri dan Julfaddli Jali.

Dua pingat emas skuad terjun Sabah dimenangi Gabriel dalam acara 3m papan anjal individu lelaki dan gandingan Gabriel dengan Julfaddli dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki.

Satu lagi gangsa dimenangi gandingan Julfaddli dan Anilrian dalam acara platform seirama lelaki.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|