Buku ‘The Hairy Rhinoceros’ perintis karya berkaitan hidupan liar

Buku ‘The Hairy Rhinoceros’ perintis karya berkaitan hidupan liar

Kota Kinabalu: Pelancaran buku ‘The Hairy Rhinoceros’ menjadi mercu tanda kepada penerbitan karya-karya berkisarkan spesis hidupan liar di Malaysia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, banyak pengajaran boleh dipelajari mengenai cara menguruskan spesies hidupan liar yang terancam, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga Malaysia dan antarabangsa.

“Saya percaya bahawa Sabah kini merintis beberapa kaedah tersebut dan saya harap kita akan terus melakukannya.

“Saya tahu saya bercakap untuk semua pihak apabila saya mengharapkan kejayaan buat penerbit dalam promosi dan jualan buku ini, di dalam dan luar negara,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran buku ‘The Hairy Rhinoceros’ di sini, hari ini.

Jafry berkata, sebanyak 1,000 salinan buku itu telah diagihkan kepada kementeriannya, dan 1,000 lagi diberikan kepada kerajaan Sabah untuk diedarkan antara lainnya kepada perpustakaan dan institusi pendidikan.

“Saya memuji penulis atas perincian yang dibuat dan kerana menyampaikan beberapa analisis yang berani dan penting, serta melihat secara terperinci unsur-unsur manusia.

“Namun, pada masa yang sama tidak menyalahkan agensi spesifik,” katanya.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Pengasas Natural History Publications Borneo, Datuk Chan Chew Lun; Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA), Datuk John Payne dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|