Projek kuari pasir silika tidak ambil pasir pantai – Jafry

Projek kuari pasir silika tidak ambil pasir pantai – Jafry

Kota Kinabalu: Cadangan projek aktiviti kuari pasir silika yang mahu dilaksanakan di Sikuati, Kudat, tidak melibatkan pengambilan pasir di kawasan pantai.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, ia adalah berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS) pada 22 Jun lalu.

“Laporan EIA bagi cadangan projek tersebut telah dibentang dan dibincang pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Penilaian Laporan EIA yang dianggotai oleh pelbagai agensi teknikal dan wakil daripada badan bukan kerajaan yang berkaitan.

“Berdasarkan kepada Laporan EIA tersebut, cadangan projek berkenaan tidak akan melibatkan pengambilan pasir silika di kawasan pantai dan satu zon penampan mencukupi akan disediakan di antara kawasan pantai dengan kawasan projek.

“Ini adalah untuk memastikan kawasan pantai terjaga bagi kegunaan aktiviti penduduk sekitar,” katanya dalam kenyataan medianya semalam.

Beliau turut berkata, kementeriannya telah meminta pihak JPAS untuk mengambil kira isu-isu alam sekitar yang dikenal pasti dalam proses penilaian Laporan EIA itu.

“Setakat ini, pihak JPAS telah mengeluarkan tawaran kelulusan bagi Laporan EIA tersebut kepada pemaju projek dengan menggariskan secara terperinci semua langkah-langkah kawalan dan program pemantauan yang berkaitan.

“Kelulusan akhir bagi Laporan EIA tersebut hanya akan dikeluarkan setelah pihak pemaju projek bersetuju dengan syarat-syarat alam sekitar yang telah digariskan,” katanya.

Jafry dalam pada itu turut menegaskan bahawa kementeriannya turut prihatin terhadap isu-isu alam sekitar yang disuarakan penduduk sekitar termasuk kebimbangan penduduk terhadap kesan projek itu di Pantai Bangau-Bangau.

“Isu-isu alam sekitar yang berpotensi boleh berlaku akibat pelaksanaan projek berkenaan berserta cadangan langkah-langkah kawalan dan program pemantauan telah diteliti dan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

“Kementerian saya juga menekankan agar sesi libat urus dengan penduduk sekitar dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan apa-apa kebimbangan atau pandangan penduduk dapat diambil kira,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|