Kolej Komuniti Beaufort anjur program sekolah angkat

Kolej Komuniti Beaufort anjur program sekolah angkat

Beaufort: Tiga sekolah di Beaufort dan Kuala Penyu dipilih sebagai sekolah angkat bagi Program Sekolah Angkat Dan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik 2022-2025 yang melibatkan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Sekolah yang terlibat dalam anjuran Kolej Komuniti Beaufort itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort, SMK Membakut II dan SMK Pekan Kuala Penyu.

Antara yang hadir pada Program Sekolah Angkat Dan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik 2022-2025 anjuran Kolej Komuniti Beaufort.

Menurut kenyataan media Kolej Komuniti Beaufort, program itu sangat sesuai dengan Program Kebolehpasaran khusus Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dalam usaha mengembangkan dan mendalami ilmu kemahiran.

Ia selaras dengan visi dan misi Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malalysia melahirkan MBPK yang berkemahiran apabila tamat persekolahan.

Di samping itu, ia merupakan program rintis dan julung kali diadakan bersama Pendidikan Khas di Sabah dengan pelan strategik bermula 2022 hingga 2025.

Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik itu berlangsung serentak dengan beberapa aktiviti yang dijalankan iaitu Kursus Pendek Dekorasi Cupcake, Kursus Pendek Fun with Circuit, Kursus Pendek Coklat Bouquet dan Kursus Pendek Sulaman Reben yang melibatkan 60 pelajar pendidikan khas daripada ketiga-tiga sekolah.

Dalam majlis yang sama turut berlangsung Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri (IAC) Kolej Komuniti Beaufort bersama beberapa industri yang terlibat iaitu Hajah Yanong Frozen Food Industry dan Daya Throne Engineering Sdn Bhd.

Kerjasama bersama industri itu akan memberi input dan maklum balas terhadap trend dan keperluan industri untuk memastikan kerelevanan program, memberi nasihat dan membantu Politeknik dan Kolej Komuniti dalam pembangunan ‘Center of Technology and Center Of Excellence’.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|