Suka, duka Pesta Bola Merdeka Piala SMJ 2022

Suka, duka Pesta Bola Merdeka Piala SMJ 2022

Kota Kinabalu: Pesta Bola Merdeka Piala SMJ 2022 yang berakhir semalam meninggalkan kenangan suka dan duka buat pasukan yang menyertainya.

Selain itu, ia juga pentas bagi para peminat untuk melepas rindu bagi menyaksikan bekas-bekas pemain yang pernah mewarnai arena bola sepak negara dan antarabangsa beraksi.

Juara bagi kejohanan kali ini menjadi milik pasukan dari Indonesia yang berjaya menewaskan Sabah 5-0 di final, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM120,000.

Walaupun tewas, skuad Sabah membawa pulang hadiah wang tunai RM70,000 selaku naib johan manakala tempat ketiga disandang pasukan Sabah SMJ yang memenangi hadiah RM50,000.

Tempat keempat pula dimenangi oleh Sarawak yang membawa pulang wang tunai RM30,000 manakala tempat kelima hingga kelapan masing-masing disandang Selangor (RM24,000), Johor (RM24,000), Singapura (RM21,000) dan Brunei (RM20,000).

Sementara itu, pasukan Sabah dipilih sebagai pasukan terbaik kejohanan manakala tiga lagi anugerah sampingan ‘disapu’ Indonesia iaitu penjaga gol terbaik Mohd Sofeyan, penjaring terbanyak Edu Juanda serta pemain terbaik (final) Michael Albert Watori.

Timbalan Pengerusi Penganjur Datuk Juil Nuatim berkata, kejohanan yang julung kali diadakan itu telah berjaya menghimpunkan semula bekas-bekas pemain negeri dan negara.

Katanya, walaupun bersifat pertandingan namun apa yang paling penting adalah mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kesemua pemain.

“Ada pemain yang sudah lama tidak bertemu dan inilah peluang terbaik mereka untuk berjumpa semula, kejohanan ini juga boleh dianggap berjaya, saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

“Terima kasih juga kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor kerana sokongan diberikan dalam kejohanan ini, beliau juga hadir bagi menyempurnakan majlis penutupan malam ini (semalam).

“Mudah-mudahan, tahun depan kejohanan ini akan kembali semula tahun depan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|