Harga lantai getah wajar dinaikkan – Jeffrey

Harga lantai getah wajar dinaikkan – Jeffrey

Keningau: Kerajaan menyokong gesaan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap di Sabah kepada RM3.50 sekilogram bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, harga lantai sekarang iaitu RM2.50 sekilogram, telah ditetapkan sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, untuk mengekalkan harga itu pada masa kini adalah tidak adil kepada pekebun kecil.

“Masa telah berubah dan ada sebab untuk menaikkan harga lantai sekarang.

“Kita harus memastikan bahawa pekebun kecil kita boleh mencari rezeki, terutamanya pada masa kini apabila harga barangan termasuk makanan meningkat secara mendadak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jeffrey berkata demikian selepas menghadiri dialog di antara Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan ahli-ahli Persatuan Pekebun Kecil Getah Keningau.

Selain menaikkan harga lantai getah sekerap, beliau berkata, LIGS turut mencadangkan cara lain untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, antaranya menanam tanaman lain seperti nenas, menternak haiwan ternakan seperti ayam dan meneroka peluang dalam industri lebah madu tanpa sengat.

Selain itu, peserta juga memohon agar kerajaan menaikkan subsidi kepada pekebun-pekebun kecil yang memerlukan.

“Kementerian saya akan menangani perkara itu dengan kerajaan negeri dan Persekutuan agar kita dapat membuat keputusan yang lebih komprehensif.

“Saya ingin meyakinkan pekebun kecil bahawa kementerian sedar dan bersimpati dengan situasi mereka.

“Saya berpuas hati dengan dialog ini kerana tanpanya, kita hanya bercakap kosong tanpa peluang untuk membincangkan masalah dan halangan yang dihadapi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa harga getah ditetapkan oleh pasaran dan bukan kementeriannya mahupun LIGS, dan naik turunnya ditentukan oleh tuntutan komoditi di pasaran global.

Tambah beliau, harga bekalan seperti racun perosak dan baja berada di bawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan bukan kementeriannya atau LIGS.

“Adalah penting bahawa faktor-faktor ini difahami agar tiada yang menyalahkan pihak yang salah atau fikir kementerian mempunyai kuasa tanpa had untuk meningkatkan atau menurunkan harga sesuka hati.

“Sekiranya ia terpulang kepada kami, pastinya kami akan mengawal harga dengan sewajarnya agar rakyat kita dapat memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Tetapi realitinya, semua harga dipacu oleh pasaran. Saya harap kita boleh berbuat lebih banyak. Malangnya, kita hanya boleh membantu melalui subsidi, bantuan kewangan, dan bantuan teknikal. Itulah tanggungjawab kita dan kita akan terus menyediakan perkhidmatan ini,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|