Sudah tiba masanya pemimpin Sabah bersatu di bawah payung GRS

Sudah tiba masanya pemimpin Sabah bersatu di bawah payung GRS

Kota Kinabalu: Sudah tiba masanya pemimpin di negeri ini bersatu padu dalam memastikan agenda kemajuan dan kejayaan dapat dilaksanakan di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, aspirasi dan harapan rakyat wajar diterjemahkan untuk menjamin masa depan negeri dan rakyat Sabah supaya lebih baik.

Katanya, panggilan untuk mendaftarkan GRS sebagai satu entiti badan gabungan politik semakin kuat didengari dan dirasai di kalangan rakyat Sabah.

“Masanya sudah tiba untuk pemimpin pemimpin Sabah bersatu padu dalam memastikan agenda kemajuan dan kejayaan dapat di laksanakan di bawah payung GRS.

“Perkara-perkara yang menghalang untuk Sabah menjadi sebuah negeri yang maju pastinya dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan baik jika pemimpin-pemimpin di Sabah dapat bersatu hati di wadah perjuangan GRS,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu yakin bahawa barisan kepimpinan yang ada di bawah kerajaan GRS mampu untuk membawa negeri Sabah ke mercu kejayaan.

“Suara kita seharusnya wajib didengari dengan jelas dan tegas oleh kerajaan persekutuan. Keberanian dan kejujuran di kalangan kepimpinan mesti wujud untuk melangsungkan agenda perjuangan negeri Sabah yang setelah sekian lama ketinggalan dari segi pembangunan.

“Keadaan politik di semenanjung yang seakan-akan tiada kesudahan, memangkin lagi perlunya untuk pemimpin pemimpin Sabah mencorak hala tuju dengan berlandaskan kepentingan rakyat Sabah secara tuntas,” katanya.

Sehubungan itu, Khairul Firdaus berkata, BERSATU Sabah yakin dan percaya masa depan rakyat Sabah harus dicorak oleh kepimpinan negeri Sabah sendiri dan seterusnya juga bernaung di bawah payung GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|