8,555 aduan kenaikan harga barang sejak Mac 2020

8,555 aduan kenaikan harga barang sejak Mac 2020

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima sebanyak 8,555 aduan berhubung kenaikan harga barang di seluruh negara sejak 18 Mac 2020 lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KPDNHEP sudah menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan rakyat menyalurkan setiap aduan mereka.

Alexander (kiri) memantau harga barang di sebuah pasaraya di Tawau.

Katanya, paling banyak aduan kenaikan harga barang diterima sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, aduan berkenaan tidaklah terlalu tinggi sehingga boleh menggusarkan rakyat.

Alexander ketika merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) untuk daerah Tawau, hari ini.

“Bagaimanapun, KPDNHEP sudah mengambil tindakan terbaik dalam menangani setiap permasalahan yang timbul dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) untuk daerah Tawau,di sini, hari ini.

Alexander berkata, kerajaan menyedari terdapat kenaikan harga barang namun ia adalah disebabkan masalah global dan tidak hanya berlaku di negara ini.

Katanya, pihak kerajaan sedia maklum terhadap semua faktor yang mendorong kenaikan harga barang.

“Namun, kerajaan sudah melakukan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat untuk berdepan masalah kenaikan harga barangan ini.

“PJKM ini juga salah satu inisiatif kerajaan yang dilaksanakan sejak 7 Disember tahun lalu dan akan terus dilaksanakan sekiranya ada keperluan,” katanya.

Alexander berkata, PJKM sangat membantu rakyat dalam menjimatkan kos perbelanjaan terutamanya membabitkan barang keperluan.

“Semua barang yang terlibat dijual dengan harga murah sehingga 20 peratus daripada yang ditetapkan KPDNHEP.

“Saya harap, semua pihak dapat memanfaatkan PJKM yang dilaksanakan di setiap Parlimen di seluruh negara khususnya ketika harga barang naik di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Alexander menasihatkan penduduk terutamanya di kawasan sempadan negara supaya tidak bersekongkol dalam membawa keluar barang bersubsidi ke negara jiran.

Katanya, KPDNHEP menyedari terdapat barang keperluan bersubsidi yang dikhususkan kepada rakyat Malaysia turut dinikmati di negara jiran.

“Saya tegaskan di sini, semua pihak tidak seharusnya membantu mengalirkan barang bersubsidi ke negara jiran kerana ia hanya merugikan rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|