Tuaran: Pelaksanaan Kempen Kesedaran Kanser Payudara Kinabalu Pink Ribbon dimulakan di daerah ini sebelum menyusul ke sembilan daerah yang lain di Sabah.
Pengerusi Kinabalu Pink Ribbon, Laura Bazan berkata, kempen dengan kerjasama daripada komuniti tempatan itu adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran khususnya mengenai kepentingan mengesan lebih awal kanser payudara.
“Kempen ini dirancang diadakan di 10 daerah dan Tuaran menjadi lokasi program sebelum diteruskan ke daerah lain secara berperingkat iaitu di Sipitang, Pitas, Kota Belud, Ranau, Keningau, Papar, Kudat, Beaufort dan Kota Kinabalu.
“Menerusi projek luar jangkauan (outreach) yang pertama bagi tahun 2022, kita akan mendekati golongan wanita bagi memberi pendidikan dan pemeriksaan payudara selain ceramah kesihatan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengesan lebih awal kanser payudara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Dewan Datuk Patrick Jilan, Kampung Selupoh, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag; Ketua Pakar Pembedahan dan Perunding, Jabatan Pembedahan Payudara dan Endokrine, Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) Kota Kinabalu, Dr Siti Zubaidah Sharif serta Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tuaran, Datin Jamaliah Antalip.
Mengulas lanjut, Laura berkata, dalam kempen kali ini pihaknya menggunakan alat pengesan ‘Advanced Portable Ultrasound’ untuk mengesan sebarang ketulan yang mencurigakan.
“Pengesanan awal ini membolehkan sasaran biopsi dapat dilakukan dengan segera,” katanya.
Tambah Laura lagi, kempen itu mendapat sambutan mengalakkan daripada komuniti di daerah berkenaan apabila kira-kira 150 peserta hadir menyertai kempen ini.
-Deasoka