Suami isteri maut, motosikal bertembung pacuan empat roda

Kota Belud: Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kota Belud-Berungis, Kampung Lebak Moyoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Nooraffindi Bador dan isterinya Adibah Jumat, masing-masing berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan kenderaan jenis motosikal Yamaha 125 yang bertembung dengan kenderaan jenis Toyota Land Cruiser.

“Terdapat tiga mangsa dalam kejadian ini iaitu pemandu kenderaan Land Cruiser yang tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua mangsa menaiki motorsikal disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.23 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|