PRU-15: Shahidan khianati calon BN di Arau?

Arau: Teka-teki calon Perikatan Nasional (PN) yang akan mengisi kekosongan kerusi P003 Parlimen Arau, akhirnya terjawab apabila penyandang, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan akan bertanding dibawah tiket parti berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengambil keputusan itu selepas digugurkan daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Selasa lalu.

Memetik laporan daripada media, Shahidan dijangka diperkenalkan sebagai calon PN di Kompleks PAS Kangar, malam ini.

Beliau mendakwa sudah menerima ‘restu’ daripada PN Pusat untuk kekal bertanding di kerusi berkenaan termasuk memastikan kemenangan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen terbabit.

Shahidan yang mengesahkan perkara itu turut berikrar akan menentang calon daripada partinya sendiri, Datuk Rozabil Abd Rahman habis-habisan.

“Bukan sahaja penyokong Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), saya nak UMNO juga sokong saya. Semua gerakan di Arau saya yang atur selama ini daripada A sampai Z.

“Tiba-tiba tolak macam itu sahaja (calon) ambil pula bukan jawatankuasa bahagian, orang luar. Di Arau ini akan menjadi model Muafakat Nasional. Insya-Allah selain Parlimen Arau, empat kerusi DUN dalam tangan dan satu lagi DUN tunggu,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau sejak empat penggal dan lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

Sementara itu, memetik laporan Utusan Malaysia, Pengerusi PN negeri Mohd Shukri Ramli berkata, penyokong PAS tidak menjadi masalah memberi sokongan kepada Shahidan di kerusi Parlimen Arau.

Katanya, nama Shahidan dipilih di peringkat pusat bukan negeri semata-mata.
“Watikah calon itu akan diserahkan oleh peringkat pusat dan nama Shahidan sebagai calon PN Arau akan diumumkan malam ini dalam satu majlis memperkenal calon PN Perlis.

“Penyertaan Shahidan itu secara tidak langsung memberi kelebihan tambahan kepada PN bukan sahaja di Arau tetapi Perlis secara keseluruhan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|