PRU-15: Laporan polis ‘Akujanji’ palsu

Kuala Lumpur: Berikutan tersebarnya ‘Akujanji’ palsu mendakwa calon Barisan Nasional (BN) perlu menyokong Pengerusi BN sebagai Perdana Menteri, satu laporan polis dibuat bagi mengesan dalang penyebaran dokumen palsu berkenaan.

Setiausaha Politik kepada Pengarah Komunikasi BN, Azizan Md Zain membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Dokumen palsu itu mula tular sejak semalam sebaik Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan senarai calon BN yang bakal bertanding di Pilihan Raya Umum Ke-15 di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Semalam, Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, menafikan wujudnya dokumen itu yang ditandatanginya termasuk semua calon yang diberi watikah untuk bertanding dalam PRU-15.

Menurut Azizan, pihaknya tidak pernah menandatangani dokumen seperti itu.

Azizan berkata, penyebaran ‘Akujanji’ palsu itu bertujuan memfitnah calon BN P055 Parlimen Lenggong (Shamsul), Pengerusi BN dan parti menjelang PRU-15.

Terdahulu, Shamsul di laman sosial Facebook rasminya mengesahkan ‘Akujanji’ yang disebarkan dan sedang viral itu adalah palsu dan tidak benar.

“Tiada sebarang akujanji sebegini dilakukan. Perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan jelas ia perancangan memburukkan Umno Barisan Nasional di ketika musim PRU-15 ini.

“Mohon rakyat Malaysia yang mendapat Akujanji Palsu ini tidak terpengaruh dengannya.

“Pihak saya amat kesal dengan permainan politik sebegini,” katanya.

Perkara sama turut diakui Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa perkara itu adalah fitnah dan taktik kotor pihak tertentu yang cuba memburukkan BN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|