MINDEF komited ringankan beban kos sara hidup warga pertahanan

Sepanggar: Kementerian Pertahanan (MINDEF), menerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), akan melaksanakan inisiatif penurunan harga produk jualan di semua 93 kedainya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia bagi membantu meringankan sedikit sebanyak beban perbelanjaan seharian warga pertahanan.

“Saya juga mengingatkan bahawa tujuan utama mereka berurusniaga dengan warga pertahanan adalah untuk membela kebajikan, bukannya mengaut keuntungan semata-mata.

“Menerusi inisiatif ini, penurunan harga yang ditawarkan adalah sehingga 48 peratus bagi makanan dan barangan keperluan asas seharian manakala sehingga 90 peratus bagi keperluan persekolahan anak-anak warga pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, dengan pembelian produk-produk ini, warga pertahanan boleh menikmati penjimatan lebih besar, terutamanya apabila mereka membeli produk-produk ini dalam satu troli pembelian.

“Tidak sekadar itu, PERNAMA juga akan melaksanakan penurunan harga pakaian seragam sekolah.

“Dengan penurunan harga ini, warga pertahanan boleh membeli pakaian seragam sekolah untuk anak masing-masing pada harga hanya RM5.00 bagi seluar dan RM5.00 bagi baju,” katanya lagi.

Menurutnya, beliau telah mengingatkan PERNAMA supaya memastikan barang-barang yang diturunkan harga ini mempunyai stok mencukupi supaya penjimatan ini benar-benar dapat dirasai manfaatnya oleh warga pertahanan.

Tegasnya, kepimpinan MINDEF akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa.

Untuk makluman, inisiatif penurunan harga di kedai PERNAMA yang akan dilaksanakan sebagai Jualan Akhir Tahun ini berkuatkuasa serta merta bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

-Deasoka

Pix – Hishammuddin melakukan lawatan kerja ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|