PRU15: Shafie terus pertahan kerusi Semporna

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kekal mempertahankan kerusi Parlimen Semporna pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang disandangnya sejak 1995.

Turut dicalonkan semula ialah enam lagi penyandang kerusi Parlimen mewakili WARISAN termasuk kerusi Parlimen Labuan yang disandang Ahli Majlis Tertinggi WARISAN, Datuk Rozman Isli.

Lima penyandang lain ialah Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking (Penampang); Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Ketua Wirawati WARISAN, Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud); Ketua WARISAN Papar, Ahmad Hassan (Papar) dan Timbalan Ketua WARISAN Kalabakan, Ma’mun Sulaiman (Kalabakan).

Senarai calon itu diumumkan Mohd Shafie pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 WARISAN bagi Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.

Mohd Shafie turut menamakan adiknya, Datuk Mohd Yusof Apdal untuk merampas kerusi Parlimen Lahad Datu yang disandang bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi.

Kerusi berkenaan dimenangi atas tiket WARISAN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi Mohamadin keluar parti pada tahun lalu sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan kini Parti Bangsa Malaysia (PBM).

WARISAN menyenaraikan calon pelbagai latar belakang, pengalaman dan pendidikan dalam usaha parti itu meyakinkan pengundi.

Antaranya bekas Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding yang dicalonkan WARISAN di kerusi Parlimen Kota Marudu.

Dua ADUN, tidak termasuk Mohd Shafie (Senallang) dan Darell (Moyog) turut dicalonkan pada PRU15, iaitu ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof di kerusi Parlimen Kimanis dan ADUN Sekong, Alias Sani di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Lima calon wanita termasuk Isnaraissah turut dicalonkan WARISAN. Empat lagi ialah Joana Sue Henley Rampas (Tuaran), Amanda Yeo (Kota Kinabalu), Siti Noorhasmawatty Osman (Pensiangan) dan Rowiena Rasid (Beluran).

Calon WARISAN yang selebihnya ialah Rashid Abdul Harun (Kudat), Ahmad Mohd Said (Putatan), Masri Adul (Beaufort), Datuk Adnan Puteh (Sipitang), Markos Siton (Ranau), Rasinin Koutis (Keningau), Ukim Buandi (Tenom), Alex Thien (Sandakan), Ismail Ayob (Kinabatangan), Chen Ket Chuin (Tawau) dan Sh Bokrata Sh Hassan (Libaran).

WARISAN turut meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, menerusi seorang peguam syarie, Jamil Hamzah.

Ia bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas Ketua Wanita WARISAN, Allahyarham Manis Muka Mohd Dara yang meninggal dunia pada 17 November 2020.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|