PRU15: BERSATU, UMNO Tuaran bentuk jentera pilihan raya bersama

Tuaran: BERSATU dan UMNO akan membentuk jentera pilihan raya bersama di Sulaman dan Pantai Dalit bagi memastikan kemenangan untuk calon Parlimen Tuaran, Datuk Joniston Bangkuai.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kedua-dua pihak akan bekerja keras memastikan calon GRS memperoleh kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, keputusan untuk meletakkan Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dibuat demi kepentingan kawasan ini.

“GRS ditubuhkan atas persefahaman bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak bekerjasama dalam membangunkan Sabah.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lalu. Terlalu banyak berpolitik sehinggakan tanggungjawab untuk membangunkan negeri tidak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada perhimpunan pemimpin UMNO Tuaran dan BERSATU Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Tambah Hajiji, antara sebab Sabah merupakan negeri kedua termiskin di Malaysia walaupun mempunyai banyak sumber, ialah disebabkan terlalu banyak pergaduhan politik.

“Justeru, sudah tiba masanya kita hentikan bergaduh politik dan menumpukan fokus terhadap pembangunan negeri ini,” katanya.

Hadir sama pada acara itu ialah Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar; Ketua UMNO Tuaran yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pembantu Menteri Kewangan negeri merangkap Timbalan Ketua UMNO Tuaran, Datuk Jasnih Daya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|