PRU-15: Kejutan Annuar Musa hadir di Pejabat Perhubungan Umno Kelantan

Kota Bharu: Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengejutkan calon dan penyokong Umno Kelantan apabila hadir meninjau proses pengisian borang calon Barisan Nasional (BN) yang terpilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini.

Kehadirannya di Pejabat Perhubungan Umno Kelantan, hari ini, bukan sahaja memberi sokongan moral terhadap semua calon BN yang bertanding, malah dilihat merestui calon penggantinya, Marzuani Ardila Ariffin dengan memberi kata-kata semangat.
Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, Annuar turut berpesan kepada Marzuani yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh supaya meneruskan dan menerima keputusan pucuk pimpinan parti.

“Pagi ini, anakanda saya Marzuani Ardilla Ariffin tanya saya lagi, apa harus dia buat kerana hari ini hari mengisi borang pencalonan.
“Jawapan saya konsisten, teruskanlah seperti biasa. Beliau nak jumpa saya pagi ini, saya katakan ‘sempurnakan semua urusan dulu’.
“Sewaktu dipanggil ke majlis pengumuman pun sama, beliau minta keputusan saya. Jawapan saya sama juga ‘pergilah dan terimalah, Alhamdullillah Ketereh tenang’,” katanya.

Dalam pada itu juga, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh turut meminta semua jentera parti tidak menutup bilik gerakan atau patah semangat.
“Begitu juga pesan saya kepada semua petugas Pilihanraya, jangan gelabah, jangan tutup bilik gerakan, jangan cepat patah semangat, kita ikuti perkembangan dengan tabah dan sabar.

“Setiap perbuatan, mesti didahulukan dengan berfikiran panjang,” katanya.
Katanya, semua pihak perlu mengikuti perkembangan dengan tenang dan jangan sesekali melebarkan perpecahan terutama dalam kalangan rakan seperjuangan dan umat Islam.
“Ada kala kita di salahertikan, ada kala kita difitnah dengan fitnah yang memilukan.
“Namun,kekallah pada kebenaran dan kejujuran. Insya-Allah ada hikmah di belakang dan ganjaran di hari kemudian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|