Langgar lari sebabkan kematian, penunggang motosikal diburu

Kota Kinabalu: Polis melancarkan usaha memburu seorang penunggang motosikal yang dipercayai melarikan diri selepas merempuh seorang pejalan kaki sehingga menyebabkan kematian di Jalan Lintas, berhampiran Puspakom, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pejalan kaki berusia 40 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa melintasi jalan seorang diri.

Katanya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumahnya di Batu 5, Jalan Tuaran, di sini.

“Ketika lampu isyarat berwarna merah, mangsa cuba melintasi jalan, namun tiba-tiba dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dengan laju.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, penunggang motosikal terbabit kemudiannya melarikan diri daripada lokasi kemalangan bersama motosikalnya.

Katanya, siasatan mendapati, punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal yang memandu secara melulu dan merbahaya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi memohon orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan dan mengesan penunggang motosikal terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|