JPKA Sandakan kesan keluarga, waris tiga kanak-kanak

Sandakan: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Bahagian Sandakan sedang mengesan keluarga atau waris kepada tiga kanak-kanak yang kini dalam jagaan jabatan berkenaan.

Pelindung Bahagian Sandakan, Nurhafiza Abdul Rahman berkata kanak-kanak pertama dikenali sebagai Norain dilahirkan pada 18 Julai 2022 dan kini berumur 1 tahun 3 bulan.

“Dalam satu laporan polis bertarikh 6 September 2022 yang dibuat oleh pengadu dikenali sebagai Samriati Samsul, menyatakan telah menjaga kanak-kanak bernama Norain.

“Beliau menerima kanak-kanak itu ketika berumur 3 bulan dari ibu kandung bernama Marry Juning di Kampung Jawa 2, Batu 12 Sandakan pada 29 Oktober 2021, setelah ibu kandung menyerahkan kanak-kanak kepada penjaga atas alasan mencari pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurutnya, ibu kandung kanak-kanak itu menghilangkan diri dan sehingga kini tidak dapat dihubungi.

Sementara itu, Nurhafiza berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan untuk mengesan keluarga atau waris kepada kanak-kanak dikenali sebagai Mohammad lrpan Abdullah berumur 11 tahun 6 bulan yang merupakan mangsa pengabaian.

“Pengadu yang dikenali sebagai Arbadul Munung, 55, hadir menemui Pelindung memaklumkan bahawa beliau menjadi penjaga kepada kanak-kanak itu sejak berumur 8 bulan.

“Semasa diserahkan oleh ibu kandung dikenali sebagai Wilma Wilson pada tahun 2011 di rumah pengadu di Tanah Merah, Jalan Leila Sandakan.

“Pengadu juga membuat laporan polis bertarikh 17 Oktober 2022, memaklumkan ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak tinggal di Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta waris kepada kanak-kanak ini agar tampil membantu siasatan bagi memudahkan segala urusan.

Katanya, kes sedang diambil tindakan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Nurhafiza di pejabatnya melalui talian 089-668494/667821.

Dalam kes berasingan, Pelindung Bahagian Sandakan, Erdianna Kanin berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan keluarga atau waris kanak-kanak lelaki yang kini berumur 8 bulan.

Menurutnya, kanak-kanak lelaki itu ditinggalkan oleh seorang lelaki berumur 30-an semasa kanak-kanak berkenaan berumur 3 bulan.

“Lelaki terbabit meminta orang awam yang dikenali sebagai Noormuhminen Mohd Al-Yamin menjaga bayi lelakinya sementara dia membeli barang di kedai pekan Sedco 2 Kinabatangan pada 29 April 2022 kira-kira jam 4 petang.

“Orang awam terbabit menunggu lelaki berkenaan namun tidak munculkan diri. Keesokan harinya orang awam pergi semula ke pekan Sedco 2 Kinabatangan untuk mencari dan bertanyakan sekitar kawasan itu namun tiada sesiapa yang mengenali lelaki berkenaan,” katanya.

Erdianna berkata orang awam terbabit merujuk kes itu kepada pihaknya dan seterusnya membuat laporan polis pada 5 Mei lalu setelah dinasihatkan untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu, beliau meminta waris atau sesiapa yang mengenali kanak-kanak berkenaan agar tampil membantu siasatan.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Erdianna di pejabatnya melalui talian 089-667821/668494.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|