Kota Kinabalu: Status yatim piatu bukan penghalang dalam mencapai keputusan cemerlang, sebaliknya ia menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang dalam kehidupan.
Mohd Fazri Karim, 24, merupakan seorang graduan Fakulti Perubatan Sains dan Kesihatan (FPSK) Univesiti Malaysia Sabah (UMS) yang mendapat keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.62.
Anak bongsu daripada 10 orang adik-beradik itu meluahkan perasaan terharu dan tidak menyangka bahawa dirinya akan menamatkan pengajian tepat pada waktunya.
Jelasnya, beliau kini masih menunggu penempatan untuk tujuan menjalani latihan kedoktoran.
“Saya telah kehilangan ibu bapa saya. Tulang belakang saya adalah kawan baik saya, termasuk adik-beradik saya. Mereka sentiasa menyokong saya dari awal hingga akhir.
“Sepanjang pengajian, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) membantu saya dalam membayar yuran program perubatan, memandangkan program perubatan adalah salah satu program yang mempunyai yuran yang agak mahal,” katanya sempena Majlis Konvokesyen Kali ke-24 UMS.
Anak jati daerah Papar itu berkata, melanjutkan pengajian sarjana merupakan perancangan masa depannya yang ingin dipenuhi.
“Saya ingin menjadi doktor bedah, selepas bekerja saya akan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana,” katanya.
Sementara itu, diminta untuk berkongsi kata-kaya semangat terutama kepada individidu yatim piatu sepertinya, Fazri berpesan agar jangan mudah putus asa, carilah peluang kerana peluang sentiasa ada untuk kita semua.
Untuk rekod, seramai 693 graduan hadir dalam Majlis Konvokesyen UMS Sidang 2 yang diadakan di Dewan Canselor UMS.
-Deasoka