Putrajaya: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching memulakan tugasnya di Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPIC) di No 15 Aras 12, Persiaran Perdana Presint Putrajaya, di sini, hari ini.
Beliau yang tiba pada jam 11 pagi disambut pegawai kanan kementerian, disusuli sesi suai kenal bersama pegawai di Pejabat Timbalan Menteri MPIC.

Mengenai visi dan misi beliau setelah diberikan amanah untuk sebagai Timbalan Menteri di kementerian berkenaan, Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata beliau akan mengadakan sesi perjumpaan dan mesyuarat bersama pegawai kanan kementerian terlebih dahulu.
Katanya, ia untuk mendapatkan gambaran yang lebih terperinci mengenai fungsi dan peranan kementerian itu.
“Kementerian ini agak besar dan tidak kurang dari 12 agensi dan majlis di bawah kementerian ini.
“Justeru gambaran yang jelas mengenai fungsi serta peranan kementerian serta agensi di bawahnya perlu diketahui terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, sektor perladangan dan ekonomi bagi saya perlu diperkasakan kerana sektor ini adalah penyumbang utama kepada ekonomi negara dan rakyat yang turut terjejas ketika negara dilanda pandemik Covid -19,” katanya.
-Deasoka