Kota Kinabalu: Seramai 74 ketua isi rumah (KIR) di Pulau Gaya yang terkesan akibat bencana angin kencang melanda baru-baru ini menerima bantuan berjumlah RM500.
Ahli Parlimen Putatan merangkap Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya berkata, sumbangan itu bertujuan untuk meringankan beban yang dialami oleh mangsa bencana terbabit.

“Kita menyerahkan bantuan daripada Pusat Zakat Sabah kepada seramai 74 KIR yang telah terkesan akibat tiupan angin kencang yang berlaku lebih kurang dua minggu lepas di Pulau Gaya.
“Diharap dengan adanya bantuan tersebut akan dapat meringankan beban yang telah mereka hadapi dalam membaik pulih rumah-rumah ataupun struktur rumah yang telah terkesan akibat tiupan angin kencang tersebut.
“Bantuan yang disampaikan adalah sebanyak RM500 bagi setiap isi keluarga tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan pemberian sumbangan itu di Balai Raya Pulau Gaya, hari ini.
Terdahulu, sebanyak 38 buah rumah di lima kampung di Pulau Gaya rosak teruk selepas dilanda hujan ribut dan angin kencang pada 29 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dua bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya turut mengalami kerosakan selepas atap beberapa bilik darjahnya diterbangkan angin kencang.
-Deasoka