Kota Kinabalu: Tiga gudang membabitkan pusat gelanggang sukan dan bengkel kenderaan di Jalan Tuaran Bypass, di sini, musnah terbakar, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kebakaran turut memusnahkan sebuah gudang yang menjual barangan runcit secara borong.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.29 pagi.
Katanya, sepasukan 21 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Lintas terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman segera dijalankan pasukan operasi bagi mengawal api daripada terus merebak ke beberapa lagi gudang berhampiran.
“Api kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 8.20 pagi dan operasi pemadaman masih lagi diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi masih giat menjalankan kerja-kerja pemadaman bara api bagi mengelakkan tercetusnya kemungkinan kebakaran semula.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden ini.
“Tiada mangsa yang terlibat dan sebarang maklumat terkini akan di kemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka