STAR sokong kerajaan perpaduan

STAR sokong kerajaan perpaduan

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanahairku (STAR) mengambil pendirian terbuka untuk menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata beliau percaya ia adalah langkah ke hadapan untuk negara.

“Berdasarkan kebuntuan politik yang dihadapi negara dan mengambil kira cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk sebuah kerajaan perpaduan, ini menjadi pilihan terbaik pada masa ini.

“Bagi STAR, kita terbuka untuk menyokong kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, menekankan agar kerajaan perpaduan yang akan dibentuk itu perlu bersifat inklusif dan mesti membabitkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Katanya, mekanisme sebuah kerajaan perpaduan mesti diwujudkan dengan jelas bagi membolehkan ia berfungsi dengan berkesan.

Jelasnya, kestabilan negara adalah yang paling utama.

“Negara perlu bergerak ke hadapan dan untuk melakukannya, kita perlu ada kestabilan,” katanya.

Jeffrey berkata, beliau akan memaklumkan pendirian parti itu kepada rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lain.

Sebelum ini, UMNO dilaporkan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan tanpa Perikatan Nasional (PN).

Parti Warisan (WARISAN) pula sebelum ini menyatakan sokongannya kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan persekutuan dengan kerjasama Barisan Nasional (BN).

Keputusan mengenai pembentukan kerajaan baharu persekutuan dijangka diketahui hari ini selepas perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara,. Kuala Lumpur.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|