BN setuju tubuh Kerajaan Perpaduan tanpa PN

BN setuju tubuh Kerajaan Perpaduan tanpa PN

Kuala Lumpur: Kemelut pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hampir menemui titik noktah apabila Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menetapkan beberapa ketetapan sebulat suara, sebentar tadi.

Menurut Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang dijalankan Jawatankuasa Perundingan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“MKT yang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“MKT juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada PRU15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, MKT juga memperkukuhkan sokongan terhadap Presiden UMNO untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan turut memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun ini ialah pada 21 hingga 24 Disember depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|